Tips menghadiri temuduga kerjaya

Temuduga merupakan satu bentuk wawancara untuk memilih calon terbaik bagi mengisi sesuatu jawatan. Calon temuduga mestilah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum menghadiri temuduga. Berikut beberapa tips dan panduan bagi mempertingkatkan keupayaan calon sebelum, semasa dan selepas menghadiri temuduga kerjaya.

KENALI SYARIKAT

Kenali syarikat atau bakal majikan sebelum menghadiri sesi temuduga kerjaya. Dapatkan maklumat yang spesifik tentang nama, lokasi, perkhidmatan yang ditawarkan, orang-orang utama yang menerajui dan lain-lain berkenaan syarikat berkenaan.

MERAMAL SOALAN

Calon hendaklah meramal soalan yang bakal ditanya dan jawapan terbaik untuk soalan tersebut. Cubalah melakonkan sesi temuduga dengan ahli keluarga atau rakan-rakan sebagai latihan. Penilaian yang diberikan kepada anda boleh membantu anda memperbaiki kelemahan. Berlatihlah berulang kali sehinggalah anda betul-betul yakin dan selesa

PENAMPILAN UNTUK BERJAYA

Penampilan diri adalah penting semasa menghadiri sesi temuduga kerjaya. Bagi calon lelaki adalah digalakkan untuk memakai baju kameja lengan panjang berwarna cerah. Seluar slack berwarna gelap, bertali leher, memakai kasut bertumit, berstoking berwarna gelap dan memakai tali pinggang yang mempunyai warna yang sama dengan kasut. Rambut mestilah pendek dan kemas.

Bagi calon wanita, pakaian yang dipilih mestilah tidak menjolok mata dan pastikan anda memakai kasut bertumit. Calon wanita yang tidak bertudung perlu memastikan rambut mereka kemas dan disisir rapi atau diikat. Gunakan colekan yang sesuai dan tidak menggunakan semburan pewangi yang berlebihan.

SOALAN BERMUTU

Bersedia dengan dua atau tiga soalan yang bermutu. Jika diberi peluang untuk bertanya soalan sebelum sesi temuduga berakhir kemukakan soalan yang munasabah.

TEPATI MASA

Pastikan anda menepati masa dan bersedia ditempat temuduga 10 hingga 15 minit lebih awal. Jangan biarkan kegagalan merancang masa menjadi punca kegagalan

BERTENANG DAN YAKIN

Calon temuduga kerjaya hendaklah bertenang dan yakin sebelum dan semasa menghadiri temuduga. Ketenangan dalam menghadiri temuduga kerjaya mampu membuktikan kebolehan menanggung beban kerja.

SENYUM

Di akhir sesi temuduga berikan senyuman dan ucapkan terima kasih kepada panel penemuduga kerana diberikan peluang untuk menunjukkan keupayaan dan kelayakan anda.

Temuduga adalah satu peluang untuk memasarkan diri kepada majikan, Semoga anda berjaya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.